Telah menyebut oleh Al-Arif Al-Rabbani Kamil Mukamil Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a. dalam kitabnya “Kanzul Manan” sebagaimana berikut;Tiada patut mendengar bagi Ilmu ini (Thoriqat / Tasauf) melainkan bagi orang yang bersifat dengan empat sifat ini iaitu;
* Zahid dengan meninggalkan segala yang lebih daripada yang halal
* Ilmu Syariat yang membaikkan zhohirnya,
* Tawakkal dan
* Keyakinan kepada Allah dan Rasul
Inilah syarat-syarat utama yang perlu dimiliki oleh seseorang yang ingin mengikut jalan atau thoriqat Ilmu Tasauf ini. Tegasnya bagi sesiapa yang ingin belajar atau menuntut ilmu ini, atau mendengar ilmu ini, membicara dan membahaskan ilmu ini, mereka hendaklah memperlengkapkan diri mereka dengan empat perkara tersebut. Tanpa salah satu atau mana-mana dari empat syarat-syarat yang tersebut itu, maka tidaklah patut bagi seseorang itu mendengar apatah lagi memperkatakan sesuatu mengenai Ilmu Tasauf ini.1. Zahid.
Adalah makna zahid ialah meninggalkan segala yang lebih-lebih daripada yang halal. Ini adalah kerana seorang yang Salik itu merupakan orang musafir kepada Tuhannya. Maka manakala jika ada sertanya sesuatu yang melebihi dari kadar keperluan dan hajatnya dalam perjalanannya, nescaya ianya akan menjadi penegah dan penghalang untuknya melangkahkan kaki. Ini adalah kerana Hadrat Haq Subhanahuwa Taala itu diharamkan masuk atas orang yang membawa di belakangnya sesuatu tanggungan(sangkutan keduniaan).
Dalam erti kata yang lain, hendaklah disucikan tangannya daripada mengambil sesuatu yang lebih daripada dunia dan disucikan hatinya daripada berhadap kepadaNya kerana adalah pada Hadrat yang Qudsi itu ditegahkan masuk orang yang penuh hatinya dengan Akdar dunia yang Masyiwallah(sesuatu selain daripada Allah) seperti kata Sheikh Ibni Athoillah As-Kandari;
* Bagaimana terang bercahaya hatinya sedangkan segala rupa Akuan(cita-cita dunia) termeteri pada muka cerminnya atau;
* Bagaimana ia suka berjalan kepada Allah Taala padahal tertambat dengan segala keinginan syahwatnya atau;
* Bagaimana ia loba masuk pada Hadrat Allah Taala sedangkan ia tiada bersuci dari segala junub kelalaiannya atau;
* Bagaimana ia harap hendak faham akan keindahan Asror atau rahsia-rahsia yang halus(yang dalam) pada hal ia tidak taubat daripada kesalahannya.
Antara alamat orang yang zahid ialah sebagaimana yang disebut dalam Kitab Sira Ssalikin di mana telah berkata Imam Ghazali;Adapun alamat Zahid itu tiga perkara iaitu;
* 1. Tiada ia suka dengan suatu yang ada kepadanya dan tiada dukacita di atas ketiadaan sesuatu padanya seperti firman Allah yang bermaksud; “Supaya tiada dukacita kamu atas sesuatu yang luput dan tiada suka dengan sesuatu yang datang kepada kamu”.
* 2. Bersamaan padanya orang yang memuji dan menghinanya.
2. IlmuYang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah Ilmu Syariat yang ruang lingkupnya bergantung dengan perkara-perkara yang membaikkan zhohirnya. Maka manakala tiada mengetahui oleh orang yang Salik ilmu-ilmu atau jalan untuk membaikkan zhohirnya nescaya tiadalah dapat ia mengetahui akan jalan untuk membaikkan batinnya. Ini adalah kerana orang yang tiada berhenti pada pintunya tiadalah masuk di dalam tempat perhentian ahbabnya(kekasihnya). Dengan kerana itulah, maka hiasilah olehmu wahai orang Salik dengan pakaian syariat dan berhiaslah dengan adab thoriqat, nescaya teranglah atasmu beberapa cahaya hakikat dan jadilah kamu ahli bagi Mukhotobah yakni berkhabar-khabaran dan ahli Musyawarah yakni orang yang berkhabar-khabaran pada malam dan dapatlah kamu akan lazat Mukhotobah. Ini adalah kerana untuk terbukanya sesuatu yang hakikat yang didapati dari Alam Ghaib, perlulah ada sesuatu Wirid atau amalan syariat yang sempurna.
Tersebut dalam bicara Kitab Hikam Ibni Athoillah As-Kanddari bahawa tidak akan ada Warid tanpa Wirid. Yang dimaksudkan dengan wirid ialah apa sahaja amalan zhohir atau batin yang dilakukan secara Istiqamah dan terhasilah Warid Ilahiyyah iaitu pembukaan dan pencampakan Nur Ketuhanan yang membukakan sesuatu yang sebelum ini tertutup atau terhijab. Dengan terbukanya sesuatu rahsia di Alam Ghaib ini, maka terserlah bahagian-bahagian hakikat atau makrifat mengikut kadar yang diizinkan.
3. Tawakkal
Amat perlu bagi seorang Salik itu memakai pakaian tawakkal kerana Tawakkal itu ialah memadai dengan pengetahuan Allah pada mu daripada bergantung hati akan yang lain. Maka apabila engkau ketahui bahawasanya;
* Allah itu Tuhan Yang ‘Alim yakni yang mengetahui dengan segala hal kamu; lagi
* Allah itu Amat Kuasa atas memadakan(menjamin) akan segala hajatmu;
* lagi Allah itu terlebih kasih sayang bagimu lebih daripada kasih sayang ibu-bapamu malah melebihi akan kasih-sayangmu pada dirimu sendiri,
nescaya berhimpunlah hatimu itu atas Allah dan tiada berhadap dengan hatimu melainkan kepadaNya(Allah). Dan tiada engkau jatuhkan pandangan dan ingatan itu melainkan padanya(berhadap kepada Allah).Adalah tawakkal ini terlebih-lebih sangat dikehendaki oleh orang yang Salik itu pada perjalannnya melebihi sangat berkehendaknya seorang yang dahaga kepada air.
4. Yakin
Yakin ialah I’tiqad(pegangan) yang putus dengan barang yang mengkhabarkan oleh Allah dan RasulNya. Dengan keyakinan itulah ia akan berpegang kepada perkara yang sebenarnya dengan tiada syak pada Allah dan Rasul atas jalan putus sekira-kira gholib atas hatinya dan jadilah segala yang ghaib itu seperti dilihatnya. Maka diketahui dengan perasaannya bahawasanya Allah Taala tiada menjadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadat kepadaNya. Maka tiada dijadikan akan segala pancainderanya melainkan kerana disuruh mengerjakan taat dengannya dan tiadalah dijadikan hati melainkan kerena tempat untuk berzikir(ingat/yakin) akan Dia dan supaya jangan hati itu tidak bimbangkan(cenderung dan kasih) dengan sesuatu yang lain selain daripada Allah.
Maka barangsiapa berhasil baginya yakin yang zauqi(rasa yang melenyapkan isyarat) atas jalan ini nescaya;
* mereka tiada akan memalingkan lidahnya melainkan di dalam zikir akan Dia dan
* tiadalah mereka memalingkan telinganya melainkan dengan mendengar kalam Allah dan kalam RasulNya dan kalam AuliyaNya dan kepada tiap-tiap sesuatu yang menyampaikan dia kepada TuhanNya dan
* tiada berpaling matanya melainkan pada barang yang memberi manfaat dan menunjuk akan dia kepada jalan Allah.
Dan demikianlah dikirakan(ditilik) dirinya pada tempat penerimaan segala nikmat yang memberi nikmat dengan dia oleh MaulaNya(Allah) hinggalah tercapailah ia akan Maqam orang yang Syaakirin iaitu orang yang memalingkan pandangannya bahawa sekelian nikmat yang diberikan Allah ke atasnya kepada sesuatu yang dijadikan untuk tujuan kembali kepada jalan Allah. Maka tatkala itu tercapailah ia akan bertambah pemberianNya seperti maksud Allah Taala (Walai in syakar tum laiziidannakum).“Dan apabila kamu bersyukur, pasti Allah menambahnya”Bermula Maqam yakin itu ialah diketahui oleh seseorang bahawa Allah Taala melihat atas tiap-tiap waktu dan ketika seperti kata Sheikh Abi Madyan r.a
Bermula Haq Taala itu melihat atas segala rahsia hambaNya dan zhohirnya pada tiap-tiap nafas dan tiap-tiap hal(kelakuannya). Maka di mana ada hati melihat akan Dia(Allah) hal keadaannya memberi bekas akan TuhanNya daripada yang lain, nescaya dipeliharakan akan dia daripada kedatangan percubaan dan daripada fitnah yang menyesatkan dia daripada memandang yang lain daripada Allah.
Inilah hikmah atau edaran(pusingan) Ahli Sufiah iaitu Maqam Muroqobah dan Maqam Ihsan iaitu mengetahui bahawasnya Allah Taala melihat ia pada sekelian ketikanya dan mengetahui pula Allah Taala akan barang yang di dalam dirinya . Maka jadilah ia;
* bersamaan pada zhohir dan batinnya dan
* bersamaan pada khulwatnya(sendirian) dan jalwahnya (di dalam tengah orang ramai) bersamaan padanya zhohir.
Maka tiada dilihat dalam segala kelakuannya itu melainkan MaulaNya(Allah) dan tiada berhadap pada menyampaikan hajatnya melainkan kepadaNya. Dan hasillah daripada Sheikh Abi Madyan r.a;Bahawasanya pati jalan untuk sampai kepada Allah itu bahawa mengetahui orang yang Salik akan bahawasnya Allah Taala itu Tuhan Yang Melihat atas segala rahsianya dan zhohirnya pada tiap-tiap nafas dan tiap-tiap kelakuannya.
Petikan dari Kitab “Kanzul Manan” ‘ala Hikam Abi Madyan r.a
Next
« Prev Post
« Prev Post
Previous
Next Post »
Next Post »
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 Komentar